Jom Berubah

Jom Berubah

Wednesday, June 7, 2017

Kenapa program agama bawa agenda Israel?




USTAZ HISHAMUDDIN ABDUL KARIM 05 June 2017

PENGANJURAN “All Malaysia-Golden Gate Revival Convocation (AMGGRC)” di Melaka pada 15 – 18 Jun depan jelas merupakan usaha terancang pihak tertentu bagi melemahkan kedudukan Islam sebagai agama Persekutuan Malaysia dan ketika sama membawa agenda dan kempen menyokong Israel di negara ini.

Berdiri atas aktiviti keagamaan, program yang bertemakan “Nations of the Golden Gate Aligning With Jerusalem’s Jubilee” itu diadakan sempena sambutan ulang tahun ke-50 kejayaan regim Israel merampas Kota Jerusalem dalam Peperangan 6 Hari yang berlaku tahun 1967 dahulu.

Malah, program juga dianjurkan dengan kerjasama Jerusalem House of Prayer for All Nations (JHOPFAN); sebuah pertubuhan berpangkalan di Israel dan merupakan organisasi yang giat berkempen menyokong Israel di seluruh dunia. Sekali gus mengesahkan hubungan penganjuran dengan pihak negara haram itu.

Pihak penganjur AMGGRC turut menyatakan bahawa pemilihan Malaysia sebagai tuan rumah adalah kerana negara ini merupakan ‘pemangkin kebangkitan’ bagi Asia Tenggara, Asia Pasifik dan negara-negara dalam segmen Golden Gate yang menggerakkan agenda Evangelis Kristian dan Hari Kemerdekaan Israel.

Kami mengakui hak kebebasan beragama penganut Kristian sebagaimana dijamin Perlembagaan Persekutuan, tetapi demi keharmonian, keselamatan dan kedaulatan, maka pihak berkuasa mesti menyiasat agenda serta semua pihak yang berada dalam rangkaian penganjuran tersebut.

Kami menentang keras sebarang usaha mana-mana pihak cuba untuk membawa masuk agenda penubuhan negara Israel dan pelampau Kristian ke dalam negara ini. PAS kekal bersolidariti bersama rakyat Palestin yang sejak sekian lama dizalimi regim Yahudi-Zionis.

USTAZ HISHAMUDDIN ABDUL KARIM
Ketua Penerangan
Dewan Pemuda PAS Malaysia

– HARAKAHDAILY 5/6/2017

No comments:

Post a Comment