Jom Berubah

Jom Berubah

Saturday, June 25, 2011

Video seks: Anwar tak gentar pendedahan trio Datuk T


June 24, 2011
SHAH ALAM, 24 Jun — Datuk Seri Anwar Ibrahim kekal tidak risau dengan pendedahan di Mahkamah Majistret hari ini bahawa pakar-pakar Amerika Syarikat telah mengesahkan bahawa lelaki dalam rakaman video seks didedahkan trio Datuk T adalah beliau.
Ketua Umum Pakatan Rakyat itu ketika ditemui pada forum ekonomi di Hotel Quality di sini kelihatan tenang apabila ditanya mengenai tindakan susulan beliau.
Anwar (gambar) berkata beliau telah menjangkakan perkembangan prosiding mahkamah hari ini dan beliau tidak terjejas dengan pendedahan itu.
“Saya fikir semuanya telah diatur. Pendakwa, sebagaimana anda tahu, akan memastikan mereka akan mendapat hukuman yang ringan dan mereka sudah pastinya akan menggunakan perkara itu sebagai rujukan (selepas ini),” kata Ketua Umum PKR ini.
Anwar juga berkata beliau sejak awal lagi telah mengisytiharkan bahawa mereka boleh menggunakan apa sahaja mereka mahu.
“Awalnya, mereka kata seorang dari Korea dan sekarang mereka seorang dari Amerika Syarikat. Mereka boleh kata apa sahaja mereka mahu... ia hanya tindakan politik untuk mencemarkan nama saya,” katanya.
Anwar juga mendakwa beberapa pihak mengesahkannya semalam bahawa bekas ketua menteri Melaka Tan Sri Abdul Rahim Tamby Chik, salah seorang trio Datuk T di belakang pendedahan rakaman video seks, ada bertemu dengan Perdana Menteri  Datuk Seri Najib Razak di Parlimen semalam.
“Kami menggunakan lif yang sama. Beberapa orang ada melihatnya, jadi mereka tidak beliau menafikannya. Kami tahu Abdul Rahim ada di pejabat perdana menteri di Parlimen pada pukul 11.45 pagi,” katanya.
Pertemuan Abdul Rahim dan Najib, kata Anwar, dengan jelas menunjukkan bahawa prosiding mahkamah hari ini telah dirancang lebih awal, kemungkinan melibatkan pembabitan Peguam Negara sendiri.
“Itu sebabnya saya tidak terjejas dengan (perkembangan) itu. Ini hanya satu pertunjukan, untuk mendakwa mereka. Apa hasil urusan Abdul Rahim dengan Najib? Ini perlu dijelaskan,” katanya.
sumber: The Malaysian Insider

Thursday, June 23, 2011

PAS kesal ADUN DAP S'wak enggan bersongkok


Dewan Pemuda PAS kesal dengan sikap beberapa ADUN Sarawak dari DAP yang tidak memakai pakaian rasmi untuk majlis perasmian sidang dewan undangan negeri Isnin lalu dengan alasan pemakaian songkok adalah bercirikan Islam.

“Kami merasakan perbuatan tersebut tidak mencerminkan kekitaan yang terdapat di dalam perlembagaan negara yang menghormati antara satu sama lain.

“Walaupun perkara ini berlaku di Sarawak, kami amat kesal kerana keadaan tersebut sedikit sebanyak akan memberi tanggapan yang salah sokongan rakyat terutama bangsa Melayu terhadap Pakatan Rakyat selama ini.

“Kami dengan ini mendesak agar majlis tertinggi Pakatan agar memberikan pemahaman terhadap ADUN tersebut agar tindakan ini tidak akan berulang lagi,” kata naib ketua, Pemuda PAS, Raja Ahmad Al-Hiss (kanan) dalam satu kenyataan hari ini.

Berita Harian pada halaman utamanya hari ini memaparkan gambar ketua pembangkang Sarawak Wong Ho Leng yang mengetuai 11 ADUN dari DAP, tidak memakai pakaian istiadat kerana mendakwa ia bercirikan Islam.

Dalam penerangan gambar itu, menurut akhbar milik Umno tersebut tindakan DAP dilihat sebagai tidak menghormati budaya masyarakat Sarawak sedangkan empat lagi ADUN PKR dan Bebas memakainya.

Enggan bazir wang rakyat

Sebelum ini, Wong dalam penjelasannya kepada akhbar bahasa Inggeris New Straits Times berkata rasional beliau dan ADUN DAP memilih memakai sut hitam adalah kerana tidak mahu membazirkan wang rakyat.

Katanya, pakaian rasmi lengkap dengan songkok bagi setiap ADUN berharga antara RM2,000 hingga RM4,000.

"Pada sesi dewan yang lalu, speaker memutuskan bahawa tidak wajib bagi memakai pakaian rasmi, asalkan kami memakai sut hitam, jadi kami memutuskan untuk datang seperti apa yang kami lakukan sebelum ini,” kata Wong (kiri) dipetik akhbar itu.

Bagi Raja Ahmad, PAS melihat kegagalan ADUN berkenaan menyarungkan songkok dan berbaju rasmi persidangan adalah kerana gagalnya Umno dan BN dalam mendidik rakyat bagi memahami budaya adat resam orang Melayu dan agama Islam di negara ini.

“Orang bukan Islam tidak faham apa itu Islam yang sebenar sehingga banyak perkara berkaitan Islam telah disalah tafsirkan oleh orang bukan Islam.

“Umno sendiri menghalang perlaksanaan hukum Islam dari dilaksanakan dan Umno sendiri tidak 'mesra' terhadap hukum-hakam Islam sehingga orang bukan Islam takut dan gagal untuk memahami terjemahan Islam itu. Begitu juga isu songkok yang dianggap sebagai elemen keagamaan bagi orang Islam adalah satu contoh kegagalannya (Umno),” katanya.

Menurut Raja Ahmad, beliau berharap semua lapisan masyarakat dapat bersama dalam menghormati peraturan dan tatacara yang telah disepakati bersama seperti Peraturan Tetap Dewan Undangan Negeri seluruh negara yang mana ia telah disepakati bersama sejak dahulu.

sumber: Malaysiakini

Sunday, June 19, 2011

Perbaharui iman, dekat diri kepada Allah

Oleh USTAZ ZAINUDIN HASHIM
KEMULIAAN seseorang berkait rapat dengan kesungguhannya dalam menambah dan meningkatkan iman. Dan perkara yang paling berpotensi untuk menhttp://2.bp.blogspot.com/-5PxMbhiszOQ/TanE6Ls-8jI/AAAAAAAAAEo/C518Hx1i1OA/s640/Masjid.jpgambah dan menguatkan iman adalah melalui ‘ilmu’, kemudian ‘amal salih’ dan ‘zikrullah’.
Maka tiap kali seorang hamba menambah ilmu dan amal salihnya bererti dia sedang memperbaharui imannya.


Inilah yang dimaksud oleh hadis Rasulullah s.a.w. dalam sabdanya yang bermaksud: “Perbaharuilah iman kamu, baginda ditanya: “bagaimana kami boleh memperbaharui iman kami, beliau menjawab: “perbanyaklah mengucapkan kalimat laa Ilaha Illallah.” (Riwayat Ahmad : 8944 dan Al Hakim: 7766)
Memperbaharui iman sangat penting bagi setiap Muslim, apalagi para aktivis dakwah dan para mujahid fisabilillah. Sebabnya ialah kesibukan dengan tugas harian, sering kali didapati kesibukan dalam menjalankan tugas-tugas dakwah, ditambah lagi kesibukan mencari nafkah atau mengurus rumah tangga, para aktivis dakwah dan mujahid tidak sempat untuk mengurus hatinya yang terkadang-kadang melekat padanya warna hitam yang terpalit dosa yang tidak disedarinya.
Justeru Rasulullah s.a.w. mengingatkan kita dalam sebuah hadis daripada Abu Hurairah r.a. berkata: Rasulullah s.a.w. bersabda: “Sesungguhnya orang mukmin apabila melakukan suatu dosa terbentuklah bintik hitam di dalam hatinya. Apabila dia bertaubat, kemudian menghentikan dosa-dosanya dan beristighfar, maka bersihlah daripadanya bintik hitam itu. Dan apabila dia terus melakukan dosa bertambahlah bintik hitam pada hatinya sehingga tertutuplah seluruh hatinya, itulah karat yang disebut Allah di dalam kitabnya: “Sekali-kali tidak (demikian), sebenarnya apa yang mereka usahakan telah menutup hati mereka.”(Surah al- Mutaffifin ayat 14). (Hadis riwayat al-Baihaqi)
Imam al-Ghazali pernah berkata, bahawa hati (qalbu) itu ibarat cermin. Ketika seseorang melakukan dosa/maksiat, maka ada satu titik hitam menodai qalbunya. Semakin banyak dosa, semakin banyak titik itu menutupi qalbunya. Jika sudah tertutup dengan banyak titik hitam, qalbu yang ibarat cermin itu tidak mampu lagi digunakan untuk bercermin; dengan demikian, kepekaan spiritual yang biasa dilakukannya, akan lenyap daripada dirinya.
Jika sudah seperti itu, jangankan dosa kecil, apalagi sekadar berbuat makruh dan melakukan banyak hal mubah yang melalaikan, dosa besar sekalipun tidak lagi dianggap besar.
Jangankan meninggalkan hal sunnah, meninggalkan kewajipan pun sudah dianggap perkara biasa. Akhirnya, kepekaan qalbunya akan hilang; tidak lagi mampu mengenali dosa, apalagi dosa yang dianggap kecil.
Arahan baginda s.a.w. untuk memperbaharui iman bertujuan mengikat qalbu dan hati manusia kepada Allah, Tuhan Yang Mencipta alam ini dan segala yang ada di antara langit dan bumi, terutama golongan pendakwah, motivator, ustaz, pensyarah, pemerintah dan apa sahaja namanya, kesemua mereka dituntut untuk sentiasa memperbaharui iman. Kenapa perlu perbaharui iman?
Ini kerana setiap daripada kita bukan maksum, sering melakukan kesalahan sama ada yang disedari ataupun tidak, dan kita juga tidak mengetahui kemungkinan semasa remaja dahulu, kita pernah bersalahan dengan kedua-dua ibu bapa dan tidak sempat memohon kemaafan daripada mereka.
Mungkin juga ketika memilih pasangan hidup dengan cara membelakangkan syariat agama Allah, mungkin juga ketika dianugerahkan Allah dengan kehadiran anak-anak tetapi tidak mentarbiyah mereka dengan Islam yang sempurna, boleh jadi juga sekarang sudah bergelar suami dan ayah tidak mendidik isteri dan anak-anak dengan Islam dan banyak lagi.
Justeru baginda s.a.w. ada menegaskan dalam satu hadisnya yang mafhumnya kita boleh fahami, bahawa berpagi-pagi seseorang Muslim itu sebagai seorang Muslim, dan ketika berpetang-petang dia menjadi kafir, begitulah sebaliknya, ini menunjukkan bahawa seseorang Muslim itu tanpa disedari melakukan kesalahan yang melibatkan persoalan agama, sebagai contoh, pada waktu pagi bersolat subuh, tengah hari di pejabat menerima sogokan atau rasuah daripada seseorang untuk mengeluarkan lesen dan sebagainya.
Mari kita renung persoalan iman dan amalan yang dilakukan oleh para ahli ibadat, tidak akan meningkat mutunya jika tidak disandarkan kepada kefahaman mendalam mengenai ilmu-ilmu fardu ain, malah seseorang itu perlu mengetahui sedalam-dalamnya maksud dan tujuan beribadat kepada Allah SWT, ia tidak lain agar hati-hati manusia menjadi lunak, lembut dan sentiasa berhubung dengan-Nya.
Berikut adalah antara pendekatan agama yang menjadi kemestian untuk diketahui, direnungi dan seterusnya diamalkan sebagai satu cara hidup beribadat kepada Allah:
1. Setiap Muslim perlu mengetahui, bahawa Allah SWT amat gembira kepada hamba-Nya yang sentiasa memohon dan berhubung dengan-Nya.
2. Setiap Muslim juga perlu mengetahui, bahawa segala apa yang menimpa diri adalah hasil daripada dosa dan kesalahan yang dilakukan. Hal ini telah diperingatkan Allah menerusi ayat 79 surah an-Nisa: “Apa saja nikmat yang kamu perolehi adalah daripada Allah, dan apa saja bencana yang menimpamu adalah kesalahan diri kamu sendiri.”
3. Semestinya setiap Muslim tidak terlibat dalam dosa-dosa besar dan kecil yang berterusan, kerana ia boleh menjadikan seseorang itu jauh daripada rahmat Allah dan sentiasa berwaspada dalam hubungan akidahnya dengan Allah.
4. Setiap Muslim perlu mengetahui, bahawa dosa-dosa yang dilakukan itu mempunyai banyak rangkaian yang menjurus ke arah neraka, justeru perlu dia menjaga hati, roh dan meyakini bahawa segala kebaikan yang dilakukan mampu menyelamatkannya dari memasuki api neraka. Sehubungan ini, Allah SWT menjelaskan dalam ayat 81 surah al-Baqarah, bermaksud: “Sebenarnya, sesiapa melakukan dosa dan dia telah dikuasai oleh dosanya, mereka itulah penghuni neraka dan kekal di dalamnya.”
5. Perlu setiap daripada kita mengetahui, bahawa kita sebagai manusia, sentiasa terdedah kepada dosa dan maksiat, ini membuktikan kelemahan diri kita dan sekali gus membuktikan keagungan Allah, justeru kewaspadaan adalah senjata paling utama dalam menangkis segala kekurangan daripada sifat-sifat mazmumah.
6. Dalam menjalani proses kehidupan sebagai Muslim, kita berada antara dua keadaan, sama ada roh kita akan maju atau sebaliknya, perkara ini dijelaskan oleh Allah menerusi ayat 37 surah al-Muddathir yang bermaksud: “Iaitu bagi siapa yang ingin maju dengan peringatan atau mundur dengan menolak peringatan.”

sumber: Detikdaily

Rejab bulan pengukuhan akidah


Rejab bulan pengukuhan akidah
Nisar Mohammad Ahmad
Jun 18, 11


Muqaddimah

Tarikh 27 Rejab yang bakal tiba beberapa hari lagi amat sinonim dengan sambutan Israk Mikraj yang disambut oleh masyarakat Islam di seluruh dunia. 

Di Malaysia, lazimnya masjid-masjid, surau-surau, agensi-agensi kerajaan mahupun NGO akan menganjurkan sambutan dengan mengadakan majlis ceramah dan sebagainya yang bertujuan memberi pendedahan kepada masyarakat tentang pentingnya iktibar di sebalik peristiwa bersejarah ini. 

Beberapa negeri seperti Kedah, Negeri Sembilan dan Perlis telah menetapkan tarikh 27 Rejab yang bersamaan dengan hari Rabu, 29 Jun 2011 sebagai hari cuti umum. Saya kira, sudah pasti ketika ini pihak pengurusan masjid dan surau mungkin sedang sibuk menyusun-atur program bagi menyambut peristiwa bersejarah ini memandangkan tempoh masa dengan tarikh tersebut hanya berbaki beberapa hari sahaja lagi. 

Bila berbicara tentang peristiwa Israk Mikraj ini, kita secara spontan akan terbayang kisah perjalanan Rasulullah bersama malaikat Jibril dan Mikail yang boleh dibahagikan kepada dua fasa. Pertama - Isra' yakni perjalanan dari Masjidil Haram di Mekah ke Masjidil Aqsa, di Baitulmaqdis, Palestin. 

Sementelah fasa kedua pula – Mi'raj ialah perjalanan dari Masjidil Aqsa ke Sidratil Muntaha di langit yang ketujuh. Perjalanan Rasulullah SAW ini telah diabadikan oleh Allah di dalam Al-Quran, Surah Al-Isra' ayat 1 yang bermaksud; ”Maha Suci Allah, yang telah memperjalankan hamba-Nya pada suatu malam dari Al Masjidilharam ke Al Masjidilaksa yang telah Kami berkahi sekelilingnya agar Kami perlihatkan kepadanya sebagian dari tanda-tanda (kebesaran) Kami. Sesungguhnya Dia adalah Maha Mendengar lagi Maha Melihat.”

Menariknya, keseluruhan perjalanan Rasulullah SAW hanya berlangsung pada satu malam. 

Selain itu, pernah juga diriwayatkan Rasulullah SAW berjumpa dengan pelbagai keadaan manusia ketika di dalam perjalanan tersebut. Meskipun kisah tentang peristiwa bersejarah ini seringkali diulangcerita oleh para penceramah setiap kali sambutan Israk Mikraj diadakan, saya melihat roh dan intipati di sebalik peristiwa ini masih tidak meresap ke dalam jiwa masyarakat Islam. 

Semasa mendengar ceramah, kita mendengar dengan penuh minat dan mungkin akan sesekali ketawa jika penceramah berjenaka. Selesai ceramah kita akan sama-sama menjamah jamuan yang disediakan dan kemudian pulang ke rumah tanpa membawa apa-apa.
Hidup diteruskan seperi biasa dan iktibar di sebalik Israk Mikraj masih gagal difahami. Begitulah keadaannya setiap kali tibanya Israk Mikraj. 

Saya tidak bermaksud isi kandungan ceramah yang disampaikan tidak menarik, tetapi pada saya mungkin pengolahan cerita di sebalik kisah ini perlu ditambahbaik atau dipelbagaikan dengan mengaitkannya dengan isu-isu semasa agar ia lebih realistik dan masyarakat akan lebih jelas akan hikmah yang terselit di sebalik peristiwa ini. 

Justeru, tulisan saya ini tidak berminat untuk menceritakan kembali apa yang semua sudah tahu iaitu kisah dan kronologi perjalanan Rasulullah di dalam peristiwa Israk Mikraj ini, sebaliknya saya akan fokuskan perkara-perkara tersirat di sebaliknya.

Pengukuhan akidah

Kita seringkali dimaklumkan yang bulan Ramadan adalah penghulu segala bulan namun mengapakah dalam susunan bulan hijriyyah bulan Rejab mendahului bulan Ramadan? Sudah tentu ada yang tersirat di sebalik susunan tersebut. 

Antaranya ialah Rejab mengandungi falsafah pemantapan dan pengukuhan aqidah di sebalik peristiwa Israk Mikraj yang berlaku di dalamnya manakala bulan Ramadan adalah pesta ibadah di mana kita akan diberikan ganjaran pahala yang berlipat kali ganda. 

Di dalam Islam, perkara pertama yang perlu dititikberatkan ialah mengenal Allah dan perkara-perkara berkaitan aqidah sebelum kita berbicara tentang ibadah dan sebagainya. Jika persoalan aqidah masih bermasalah, bagaimana mungkin kita ingin bicarakan tentang ibadah kepada Allah yang belum kita imani sesungguh hati? 

Begitulah pentingnya persoalan aqidah didahulukan sebelum perkara-perkara lain sebagaimana fasa dakwah Rasulullah yang dimulai dengan fasa Makki – yang menekankah aspek pemurnian aqidah umat Islam diikuti fasa Madani - yang berkaitan kaedah-kaedah untuk menzahirkan rasa cinta kepada Allah melalui persoalan ibadat, akhlak dan sebagainya. Sifir mudahnya, bagaimana mungkin kita mencintai Allah jika kita belum mengenalNya?


Berbalik kepada peristiwa Israk Mikraj, jika kita singkap dan amati, begitu ramai sekali sahabat-sahabat Rasulullah SAW yang bergoncang aqidah mereka serta menjadi murtad gara-gara tidak percayakan cerita Rasulullah SAW yang telah diisrak' dan dimi'rajkan ke detinasi yang mengikut congakan logik akal manusia yang waras adalah tidak masuk akal untuk berlaku dalam masa satu malam! 

Apabila mengetahui kisah ini, maka Abu Jahal begitu gembira kerana ini adalah peluang terbaik untuk menghentam Rasulullah SAW dan menjauhkan masyarakat daripada dakwah baginda. Maka berteriaklah Abu Jahal kepada warga Makkah – ”hai warga Makkah, sesiapa yang ingin mendengar cerita sensasi daripada Muhammad, silalah berhimpun beramai-ramai untuk kita sama-sama mendengarnya” – mungkin begitulah bunyinya.
Terlopong dan tersentak

Apabila diceritakan kisah ini oleh Rasulullah SAW, maka ramailah yang terlopong dan tersentak. Bagaimana mungkin mereka ingin percayakan cerita Rasulullah SAW itu kerana setahu mereka jika perjalanan dari Makkah ke Masjidil Aqsa menggunakan kaedah pengangkutan ketika itu – barangkali menggunakan unta – paling cepat mengambil masa beberapa hari atau minggu. Inikan pula berlaku hanya satu malam. 

Tambahan pula bukan hanya ke Masjidil Aqsa tetapi juga ke Sidratil Muntaha. Oh tak mungkin! Mustahil! Muhammad dusta! Itulah kata-kata yang dihamburkan kepada Rasulullah SAW. Abu Jahal begitu gembira melihat ramai mula meragui dan mempertikaikan kebenaran Rasulullah SAW itu.

Namun, di sebalik suasana gawat itu, tampil seorang lelaki yang berkata: “Wahai Muhammad Rasulullah. Sekiranya engkau katakan engkau telah pergi lebih jauh daripada destinasi-destinasi itu sekalipun aku akan tetap mempercayakanmu!”

Orang itu, tidak lain tidak bukan adalah Abu Bakar As-Siddiq yang sentiasa membenarkan Rasulullah SAW walau apa jua keadaan. Subhanallah, begitu kentalnya iman dan kukuhnya aqidah yang dimiliki oleh sahabat agung yang mendampingi Rasulullah SAW ini. 

Bagi menduga kebenaran kata-kata Rasulullah SAW, maka Abu Jahal bertanyakan tentang ciri-ciri fizikal Masjidil Aqsa dengan harapan Rasulullah akan memberikan jawapan yang salah. Namun, dengan bantuan dan izin Allah, Rasulullah SAW berjaya menjawab dengan tepat dan ini benar-benar menghairankan Abu Jahal. 

Tidak puas hati dengan kebenaran jawapan itu, Abu Jahal bukannya ingin mengakui kebenaran jawapan Rasulullah SAW, sebaliknya menuduh Rasulullah SAW sebagai ahli sihir! Begitulah kuatnya tentangan kaum musyrikin Makkah terhadap Rasulullah SAW. 

Mana mungkin Rasulullah SAW menipu sedang baginda diakui seorang yang bermanah sehingga digelar Al-Amin. Walaupun menyedari kebenaran dakwah Rasulullah SAW, musyrikin Makkah masih enggan menerimanya kerana mereka sedar jika mengakui kebenaran Rasulullah SAW, maka perniagaan dan kepentingan mereka yang berasaskan perkara haram akan terjejas.
Kebenaran dakwah

Maka, mahu tidak mahu dakwah Rasulullah SAW perlu ditentang meskipun hati kecil mereka mengakui kebenaran dakwah Rasulullah SAW tersebut.

Mungkin analogi pada masa ini, memang ada pihak yang mengakui kebenaran Islam yang sifatnya syumul dan lengkap, namun amat sukar untuk menerima dan mengamalkannya kerana dibimbangi kepentingan-kepentingan tertentu yang berasaskan perkara haram akan terjejas.
Maka, mahu tidak mahu, sebarang usaha yang boleh menyedarkan masyarakat tentang Islam yang sebenar yakni Islam yang mengharamkan penyalahgunaan dan penyelewengan perlu ditentang habis-habisan. Pada mereka lebih baik dibiarkan masyarakat jahil dalam agama agar kesilapan dan kemungkaran yang mereka lakukan tidak disedari oleh masyarakat. 

Sebab itulah, bila ada pihak yang cuba kembali kepada ajaran Islam yang sebenar sebagaimana yang termaktub dalam Al-Quran dan Sunnah dan sebagaimana yang diarahkan Rasulullah SAW seperti perkara-perkara berkaitan hukum-hakam Islam - arak itu hukumnya haram, judi itu haram, rasuah itu haram, berlaku adil itu wajib dan sebagainya, orang akan katakan itu bukan Islam yang sebenar tetapi itu ialah politik! 

Itu bukan hukum hudud sebenar tapi itu hudud yang bermotifkan politik! Bukankah persoalan hukum-hakam ini datangnya daripada Islam melaui nas-nas yang muktabar, bukannya melalui politik. 

Bahkan Islam tidak bergantung kepada parti politik mahupun sesiapa, tetapi kita semua yang memerlukannya. Jika tiada parti politik sekalipun Islam akan tetap wujud dan hukum-hakamnya tetap perlu dilaksanakan. Maka apa rasionalnya jika kita ingin kembali kepada Islam kita dituduh ingin berpolitik? Begitulah bencinya segolongan manusia terhadap Islam yang sebenar. 

Sudahlah tidak suka pada Islam dan syariatnya, dihasut pulak orang lain agar sama-sama membenci agama suci ini. Watak ini saling tak tumpah seperti watak Abu Jahal dalam kisah Israk Mikraj ini yang menuduh Rasulullah SAW sebagai ahli sihir meskipun hati kecil mereka menyedari dan mengakui kebenaran Rasulullah SAW.

Diukur logik akal

Saya masih tertanya-tanya di dalam diri, jika saya dan tuan-puan berada dalam majlis penerangan oleh Rasulullah SAW berkaitan peristiwa Israk Mikraj ini, adakah kita mampu menyertai Abu Bakar yang membenarkan Rasulullah SAW atau kita akan berada di belakang Abu Jahal yang mendustakan Rasulullah SAW? 

Saya sendiri bimbang, dengan situasi diri yang lemah ini, kadangkala amat sukar untuk menjadi sehebat Abu Bakar. Tapi itulah cabaran yang perlu disahut. Dalam situasi sebegini, jika logik akal menjadi pertimbangan, maka sudah pasti kita akan mendustakan Rasulullah SAW. 

Sesungguhnya dalam perkara agama, tidak semua perkara boleh diukur dengan neraca logik akal semata-mata kerana akal manusia itu terbatas walau sehebat manapun ilmu mereka. Keimanan kepada Allah dan RasulNya itu memerlukan pertimbangan yang jauh menjangkaui batasan logik akal manusia. 

Kalaulah logik akal menjadi ukuran, bagaimana kita ingin menerima hikmah kisah Nabi Ibrahim AS yang meninggalkan isteri baginda Siti Hajar yang masih di dalam tempoh berpantang 
bersama bayi mereka Nabi Ismail AS di tempat yang kontang dan jauh dari manusia lain? 

Bukankah arahan Allah itu zalim mengikut tafsiran akal kita yang dangkal ini? Sudahlah ditinggalkan di tempat yang gersang, apabila si anak telah membesar, Allah arahkan pula Nabi Ibrahim AS untuk menyembelih Nabi Ismail AS – sebuah kisah yang sering diulangcerita di dalam khutbah Eidul Adha setiap tahun. 

Namun berkat ketaatan Nabi Ibrahim dan anaknya Ismail, maka Allah tukarkan arahan menyembelih Ismail kepada menyembelih seekor kibasy. Nah, jika akal yang dangkal ini sekali lagi digunakan untuk mengukur kewajaran arahan Allah itu, sudah pasti kita akan katakan ia zalim.
Dosa pahala
Begitu juga, jika kita percayakan falsafah manusia yang mengatakan ”seeing is believing” itu, bagaimana ingin kita percayakan perkara sami'yyat di dalam agama ini seperti persoalan dosa-pahala, syurga-neraka dan sebagainya yang mata kasar kita tidak dapat melihatnya. Semua ini perlu dilihat dengan pandangan iman bukannya pandangan mata kasar dan akal semata!

Jika dikait dengan situasi hari ini, amat menyedihkan bila sudah ada yang cuba mempersoalkan hukum dan syariat Allah hanya kerana ia tidak dapat terima oleh logik akal mereka. Ambil contoh hukum hudud dan qisas, meskipun ia bukannya satu-satunya perkara yang ditekankan Islam, namun ini tidak semestinya membuka ruang untuk hukum itu dikritik dan diperlekehkan. 

Janganlah kerana tidak sukakan sesetengah orang, hukum-hakam Allah pula yang menjadi sasaran ejekan. Ada yang mempersoalkan jika hukuman hudud dan qisas dilaksanakan, kita tidak mampu lagi membuat jalanraya kerana batu yang perlu digunakan untuk membuat jalanraya telah habis digunakan untuk merejam pesalah zina. 

Begitu juga ada yang mengatakan jika hukuman potong tangan dilaksanakan, jenuhla kita makan sup tangan kerana ramai benar yang mencuri pada hari ini. Saya tidak nafikan mungkin terdapat khilaf ulama' tentang keperluan dan waktu yang sesuai untuk melaksanakan hukuman tersebut, tetapi ia tidak membuka ruang untuk kita mengejek hukum-hakam Allah ini kerana hukum-hakam ini bukan hukum manusia tetapi datangnya dari Allah melaui Al-Quran dan Sunnah. 

Kalaupun tak suka dan tak berminat dengan hukum-hakam Allah sekalipun, jangan menghina dan mengejeknya. Kalau tak suka menutup aurat sekalipun, janganlah menghina orang yang menutup aurat dengan mengatakan memakai tudung dan jilbab ini tiada asas dalam Islam. Ia hanyalah amalan wanita Arab bagi mengelakkan terkena pasir atau mengelakkan gangguan lelaki Arab yang nafsunya kuat. 

Kalau tak suka bangun malam atau berqiyamullail, jangan menuduh bangun malam bermunajat kepada Allah itu akan menyebabkan otak dan minda akan menjadi lembap dan bebal. Kalaupun suka bersalaman dengan orang yang bukan muhrim, janganlah menghina dan mengatakan orang yang enggan bersalam dengan bukan muhrim sebagai orang yang ketinggalan zaman, kolot dan punca perpecahan. 

Kalaupun tidak mahu mengambil ketetapan keperluan mengutarakan empat saksi bagi pembuktian kes tuduhan zina atau qazaf, janganlah pula menghina keperluan empat saksi yang dianggap tak masuk akal itu sebegai kolot dan tak mampu menyelesaikan masalah. 

Nah, banyak sangat jika mahu disingkap kesangsian dan keraguan umat Islam terhadap agama mereka sendiri. Saya tidak hairan atau pelik jika non-Muslim tidak inginkan hukum Islam tetapi saya amat dan sangat hairan jika umat Islam sendiri yang bukan sahaja tidak berminat malah menentang hukum Allah dan syariatNya. 

Khatimah


Secara kesimpulannya, jika masih terdapat di dalam hati sanubari kita perasaan ragu terhadap Islam samada terhadap hukum-hakam dan syariatnya walau sekelumit, maka ada suatu yang tidak kena dengan pegangan aqidah kita. 

Kadang-kadang kita tidak sedar, bila memberikan komen yang memperlekahkan hukum-hakam Allah, pegangan dan aqidah Islamiyyah kita boleh terjejas. Ambillah kesempatan di bulan Rejab yang penuh berkah ini untuk memperkasakan pegangan aqidah dengan meningkatkan ilmu dan pengetahuan tentang perkara-perkara agama. 

Hanya dengan ilmu dapat membolehkan kita membezakan haq dan batil di atas neraca Islam, bukannya ceraca aqal yang doskong oleh emosi dan sentimen. Mudah-mudahan amal ibadah yang kita lakukan adalah berdasarkan cinta dan sayang kita hasil aqidah dan iman yang sebenar kepada Allah. 

Ambillah watak Abu Bakar sebagai contoh dan tauladan agar kita sentiasa berbaik sangka dengan syariat Islam serta tidak sekali-kali mempertikaikan apatah lagi mengejeknya. Seterusnya, buangkan jauh-jauh watak Abu Jahal dari kehidupan kita kerana watak itu tidak baik itu dijadikan ikutan, malah akan membawa kita jauh daripada agama islam yang sebenar. 

Moga-moga Israk Mikraj yang bakal kita sambut pada bulan ini dapat memberi satu impak yang signifikan dan positif ke arah menjadikan diri kita Muslim dan Muslimah yang taatkan Allah dan RasulNya.


Macam Orang Gila


Pendirian Pelajar Azhar Isu Karikatur Utusan

Oleh: abu_zaim


Merujuk karikatur yang dimuat di dalam dada akhbar Utusan bertarikh 15 Jun 2011, ia dilihat sebagai usaha mempersenda agama Islam. Konten karikatur tersebut menggambarkan bahawa Islam tidak sedikit pun membela hak dan maruah manusia. Di dalam surah al-Taubah ayat 65 dan 66, Allah telah mencela golongan yang mempersenda-senda agama Islam:

“Dan jika kamu tanyakan kepada mereka (tentang apa yang mereka lakukan itu) tentulah mereka akan menjawab : sesungguhnya kami hanyalah bersenda gurau dan bermain-main sahaja. Katakanlah : Apakah dengan Allah, ayat-ayat-Nya dan rasul-Nya kamu selalu mempersendakan? (65) Tidak perlu kamu beralasan kerana kamu telah kufur setelah beriman. Jika Kami memaafkan segolongan daripada kamu (lantaran mereka bertaubat) nescaya Kami akan mengazab golongan yang lain disebabkan mereka adalah orang-orang yang selalu berbuat dosa”.(66)


Berdasarkan ayat ini, terbit hukum terbatal keIslaman seseorang apabila dia melancarkan sendaan terhadap Islam, samada dengan hati, kata-kata atau perbuatan. Pelaku kesalahan tersebut kekal dengan kekufurannya sehingga taubat nasuhanya diterima oleh Allah SWT. 

Bahkan kefahaman pelukis yang bertanggungjawab atas karikatur tersebut dengan agama Islam ternyata amat dangkal. Beliau keliru antara pensabitan jenayah zina dan jenayah rogol. Zina tiada unsur paksaan manakala rogol pula sebaliknya. Islam telah memperuntukkan jenayah rogol dengan cara pensabitan yang cukup berbeza dengan jenayah zina. Rogol tidak memerlukan empat orang saksi yang adil sebagaimana zina. Sebaliknya jenayah rogol hanya memerlukan qarinah untuk sabit kesalahan ke atas pesalah.

Menurut Imam al-Jurjani di dalam ensiklopedianya ‘al-Ta’irifat’, qarinah merupakan bukti jelas yang difikirkan logik bagi membantu siasatan kes. Qarinah mestilah sesuatu sumber maklumat yang diketahui umum yang difikirkan relevan untuk dijadikan bahan bukti. Dengan itu, ia mampu merungkai persoalan tersirat terhadap sesuatu kes. Autoriti qarinah dalam mengadili sesuatu dakwaan telah disebut di dalam al-Quran melalui surah Yusuf ayat 27 dan 28;

“Dan jika baju gamisnya koyak di belakang, maka wanita itulah yang dusta, dan Yusuf termasuk orang-orang yang benar. Maka tatkala suami wanita itu melihat baju gamis Yusuf koyak di belakang berkatalah dia: Sesungguhnya kejadian itu adalah di antara tipu daya kamu, sesungguhnya tipu daya kamu adalah besar” 

Nabi Yusuf terbukti tidak bersalah dengan dakwaan rogol apabila didapati terdapat kesan koyak di belakang bajunya. Pada zaman tersebut, ia dianggap qarinah yang cukup jelas menggambarkan situasi antara perogol dan mangsa rogol. 

Imam Ibnu Qayyim al-Jauzi di dalam karyanya ‘al-Turuq al-Hukmiyyah Fi al-Siyasah al-Syar’iyyah’ menyebutkan bahawa para sahabat telah menjadikan hamil sebagai qarinah kepada jenayah zina. Bahkan Imam Abu Hanifah, Imam Malik dan Imam Ahmad yang mewakili majoriti ulama’ berpendapat bahawa qarinah yang cukup jelas amat berautoriti menjadi pelengkap bagi bahan bukti. 

Adapun qarinah bagi kes rogol yang relevan diguna pakai di zaman sekarang, ia termasuk DNA, rakaman video, gambar, cop jari dan sumber-sumber lain mengikut peredaran semasa. Justeru MANHAL PMRAM mencadangkan beberapa inisiatif bersama:

1) Pelukis karikatur dan pihak-pihak yang terlibat diminta bertaubat kerana mempersenda hukum agam Islam. Mereka juga perlu memohon maaf kepada seluruh umat Islam. Ini demi memelihara sensitiviti umat Islam tehadap cara hidup anutan mereka.

2) Kajadian ini membuktikan kekeliruan masyarakat Islam Malaysia terhadap agama anutan mereka sendiri. Ahli akademik Islam perlu mengadakan usaha bersepadu ke arah penerangan dan pemahaman terhadap hukum hakam Islam.

Rujukan:
1) Tafsir Ayat al-Ahkam, Syeikh Muhammad Ali al-Sabuni.
2) Al-Tafsir al-Munir, Dr. Wahbah al-Zuhaili.
3) Majmu’ Syarah Muhazzab, Imam Nawawi disempurnakan oleh Syeikh Najib Muthi’iy.
4) Feqh al-Islami Wa Adillatuhu, Dr. Wahbah Zuhaili.
5) Feqh al-Sunnah, Sayyid Sabiq.
6) Al-Nizam al-Qadha’ie Fi al-Feqh al-Islami, Dr. Muhammad Ra’fat Uthman.

Fellow MANHAL yang terlibat:

1) Mohamad Hanif Bin Haron.
2) Abdul Mu’izz Bin Muhammad.
3) Shahrizan Bin Mohd Hazime.
 
 http://pmram-manhal.blogspot.com/2011/06/kenyataan-rasmi-manhal-pmram-terhadap.html
" 

Saturday, June 18, 2011

Tiada Pas tanpa nama Islam



KOTA BHARU - Apa guna Pas tanpa nama Islam! Demikian tegas Mursyidul Amnya, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat (gambar), ketika menjawab cabaran sesetengah pihak supaya menggugurkan perkataan Islam pada nama parti itu.

Menteri Besar Kelantan itu berkata, Pas diwujudkan untuk memperjuangkan agama Islam dan adalah suatu perkara mustahil untuk menggugurkan nama dan asas perjuangan yang dipegangnya selama ini.

“Mana boleh gugur perkataan Islam, kalau gugur Islam tiada parti Pas, Melayu lebih Melayu kerana Islam, tetapi UMNO tolak Islam, khianat kepada agama dan bangsa sendiri,” katanya ketika ditemui selepas menyampaikan kuliah Jumaatnya di Dataran Ilmu di sini, semalam.
Sebelum ini, pelbagai pihak mencabar Pas menggugurkan perkataan Islam pada nama parti itu bagi menjaga hubungannya dengan parti pembangkang yang lain.

Antaranya, Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Dr Mohd Puad Zarkashi yang menjelaskan ia perlu dilakukan kerana Pas sendiri yang memberi alasan ramai orang bukan Islam keliru dan takut apabila disebut negara Islam sehingga menyebabkan parti itu menukar dasarnya kepada negara berkebajikan.

Isu itu timbul apabila Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang pada Muktamar Tahunan Ke-57 parti itu, dua minggu lalu, mengumumkan parti itu akan menumpukan perhatian kepada konsep membangun negara berkebajikan, sekali gus menimbulkan tanggapan parti itu menukar dasarnya.

Dalam pada itu, Nik Aziz menggunakan kesempatan pada kuliah Jumaat kelmarin, untuk menerangkan isu ‘negara berkebajikan’ yang diperjuangkannya kini dan dilihat sebagai salah satu usaha bagi mengelak ahlinya keliru dengan slogan tersebut.

Menurutnya, konsep negara berkebajikan bukan bermakna Pas mengubah dasar perjuangannya, sebaliknya ia adalah satu daripada program parti yang juga selaras dengan perjuangan ajaran Islam.

Beliau berkata, UMNO dan Barisan Nasional (BN) tidak perlu gusar dengan slogan baru itu walaupun mendakwa mempunyai persamaan, tetapi inti pati yang dibawa Pas cukup berbeza.
“Buat apa nak takut, macam orang jual nasi kerabu, kalau nasi kerabu kamu lebih sedap orang akan beli, tidak perlu takut, tetapi kalau takut itu bermakna apa yang kamu jual itu tidak bernilai,” katanya.


sumber: Sinar Harian

Thursday, June 16, 2011

Bersih 2.0 - Sesuatu yang kotor mesti dibersihkan


BERSIH 2.0 mempunyai matlamat yang baik dan murni bagi mendesak satu pilihanraya yang adil dan bersih. Himpunan ini jelas dengan objektif dan matlamat demi kebaikan negara. Sebarang penyelewengan yang dilakukan secara terang-terangan untuk menjamin kemenangan parti pemerintah akan menimbulkan rasa tidak puas hati rakyat.
Bila mana pelbagai salahguna kuasa mula dilakukan oleh pihak Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN), serta penyalahgunaan media secara berleluasa, maka penyelewengan ini mesti diperbetulkan.
Pas memilih jalan demokrasi bukan sahaja bersama Pakatan Rakyat malah dengan sesiapa sahaja yang menuntut keadilan dalam sistem pilihanraya. Hanya dengan satu sistem yang adil sahaja keadilan dan hak rakyat, yang juga termasuk rakan-rakan dan saudara mara pihak polis dapat dijamin.

PERKASA cetus provokasi
Tiada tindakan pihak polis membuatkan seolah-olah negara ini tiada undang-undang kerana ada badan NGO yang mengatasinya sehingga pelbagai kenyataan yang terang-terangan bersifat provokasi boleh dikeluarkan dengan bebas.

Dato' Ibrahim Ali, secara lantang membantah perarakan aman Bersih 2.0 dengan mengerahkan ahli-ahli Perkasa-nya turut berarak pada hari yang sama, semata-mata untuk menentang dan bertembung dengan kumpulan Bersih 2.0.
Disebabkan itu, PAS menyarankan supaya pihak polis mesti menghalang perhimpunan Perkasa yang lebih bersifat provokasi dan memungkinkan berlakunya perkara yang tidak diingini.

Pertemuan dengan SPR

Pas akan mengadakan dialog dan perundingan dengan pihak SPR sebelum perhimpunan Bersih 2.0 berlangsung.

Pertemuan ini sangat penting bagi memastikan tuntutan Bersih 2.0 dapat dipenuhi, dan pihak kerajaan perlu faham kenapa rakyat membantah SPR. Ini juga membuktikan PAS bukanlah sebuah parti yang suka mencetuskan suasana gawat dengan demonstrasi aman.
Himpunan ini adalah jalan keluar terakhir bagi memperlihatkan kepada pihak kerajaan betapa seriusnya kemarahan rakyat kepada ketidakadilan sistem yang sedang berjalan kini.

Pengeluaran kad pengenalan kepada warga asing gugat kedaulatan negara

Sebagai contoh, katanya tindakan JPN mengeluarkan kad pengenalan kepada warga asing di Selangor, Kedah dan juga Kelantan sebagaimana yang dilaporkan kepada pihak polis bukanlah satu isu kecil dan remeh yang boleh dipandang sebelah mata.

Begitu juga isu pendaftaran pengundi baru yang sangat luar biasa di Selangor, Kedah dan Pahang telah menimbulkan pelbagai bantahan dan kebingungan rakyat.

Semua usaha ini memperlihatkan seolah-olah SPR dan JPN mempunyai konspirasi bersama Umno dan Barisan Nasional bagi memastikan kemenangan berpihak kepada mereka.


Dipetik daripada blog Ketua Penerangan Pas Pusat, Dato' Tuan Ibrahim Tuan Man

sumber: Sinar Harian Online

Tuesday, June 14, 2011

Perhimpunan akan aman jika tiada provokasi


Huru hara: UMNO, Pekida bantah perhimpunan Bersih

14/06/2011 8:27pm


KUALA LUMPUR 14 Jun – UMNO membantah sekeras-kerasnya perhimpunan Bersih di sini pada 9 Julai ini kerana ia akan menimbulkan keadaan huru hara dan menjejaskan keselamatan serta ekonomi negara.
Ketua Penerangan UMNO, Datuk Ahmad Maslan berkata, perhimpunan itu sebenarnya bukan bertujuan memperjuangkan isu mengenai pilihan raya seperti yang dilaungkan oleh penganjurnya.
"Penganjuran perhimpunan ini jelas berniat jahat dan akibatnya orang ramai seperti peniaga, penjaja dan pemandu teksi yang akan menjadi mangsa,” katanya pada sidang akhbar di ibu pejabat UMNO di sini hari ini.
Terdahulu, beliau mengadakan pertemuan dengan Pengerusi Pertubuhan Kebajikan dan Dakwah Islamiah Malaysia (Pekida) Wilayah Persekutuan, Datuk Roslan Dahaman dan anggota-anggota Pekida Wilayah Persekutuan untuk membincangkan mengenai perhimpunan itu.
Ahmad, yang juga Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, berkata, dalam perbincangan itu Pekida telah sebulat suara membantah perhimpunan itu. – Bernama


Perhimpunan BERSIH adalah lahir dari hasrat rakyat mahu melihat pelaksanaan pelihanraya negara kita berjalan dengan adil dan saksama yang mana selama ini SPR telah menjadi pro BN. 

Segala luahan dan rintihan serta permintaan pihak yang memperjuangkan pilihanraya adil dan saksama telah disampaikan namun itu semua tidak diendahkan. Justeru itu perhimpunan pada 9 Julai ini diharap dapat menukar dan sekurang-kurangnya pilihanraya akan datang menjadi yang paling saksama dalam sejarah.


Kebanyakkan perhimpunan dibuat secara aman yang mana para peserta perhimpunan itu telah pun faham apa yang perlu dilakukan supaya keamanan itu menjadi keutamaan namun akibat provokasi pihak pemerintah ianya akan menjadi sebaliknya.


Diharapkan sebelum perhimpunan ini berlaku pihak SPR dapat mengikut kehendak rakyat yang mahu PRU menjadi adil dan bersih dari unsur penipuan.

Tok Guru setuju tarik balik saman fitnah Utusan

KOTA BHARU – Menteri Besar Kelantan, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat menarik balik saman fitnah berjumlah RM20 juta yang difailkan terhadap sebuah syarikat media arus perdana berkait isu penyiaran sebuah artikel oleh akhbar tersebut, dua tahun lalu.

Hakim Mahkamah Tinggi Kuala Terengganu, Datuk Mohd. Yazid Mustafa mendengar kes itu merekodkan penyelesaian saman sejurus Nik Abdul Aziz selaku plaintif bersetuju menyelesaikan kes di luar mahkamah.

Beliau sebelum itu mengemukakan saman tuntutan RM20 juta terhadap syarikat akhbar Utusan Melayu (M) Bhd, Ketua Pengarang Kumpulannya, Datuk Abdul Aziz Ishak dan wartawan, Rodelio Junjun Taucan berhubung penyiaran artikel bertajuk ‘Nasihat saya mesti didengar’ pada 15 Jun 2009.

Peguam mewakili defendan, Mohana Kumar berkata, plaintif bersetuju menarik balik saman tanpa kebebasan memfailkan semula dan tanpa kos.

“Selepas penyiaran artikel 15 Jun itu, Utusan Malaysia bertindak menyiarkan artikel penafian Nik Abdul Aziz mengenai kandungan artikel ‘Nasihat mesti didengar’ tiga hari berikutnya.

“Manakala, pada 29 Julai tahun sama, Utusan Malaysia menyiarkan permohonan maaf di muka hadapan Utusan Malaysia dan laman web Utusan Online,” katanya.

Menurutnya, namun demikian, plaintif dengan diwakili firma guaman Tetuan C Jegathesan, masih meneruskan tuntutannya itu.

“Walau bagaimanapun, plaintif akhirnya bersetuju menarik balik saman tersebut, semalam,” katanya.



sumber: Sinar Harian Online

Kegagalan Orang-orang Soleh

Oleh: BayangDiAir

"

Fenomena biasa di surau atau di masjid; hanya orang-orang dewasa berumur  40-an ke atas yang menekuni solat dan kuliah. Kadang-kadang wajah yang sama sahaja menghadiri solat berjemaah lima waktu. Mereka ini bolehlah dikategorikan sebagai orang-orang yang soleh di sesuatu kariah. Mereka ini tidak ramai. Kalau waktu Maghrib dan Isyak, bilangan mereka adalah dua kali ganda bilangan tiang-tiang di masjid. Pada waktu Subuh, Zohor dan Asar, ada ketikanya banyak tiang daripada makmum.


Golongan orang soleh yang gemar bertandang ke surau dan masjid ini dari satu aspek sama lalai sahaja dengan golongan yang solat di rumah atau tak solat langsung. Golongan ini sama gagal dalam membawa anak-anak ke rumah Allah. Kegagalan ini terbahagi kepada dua iaitu, gagal mendidik dan gagal mengajak.Gagal mendidik bermaksud  gagal menjalankan tugas sebagai seorang ayah yang sepatutnya mendidik anak-anak tentang tuntutan solat berjamaah. Kegagalan inilah menyebabkan anak-anak jauh dari tangga surau masjid.

Kegagalan mengajak pula bermaksud gagal memujuk atau memaksa anak-anak ikut bersama solat berjamaah. Ibu bapa mudah mengalah atau tidak berdaya untuk membawa anak-anak bersama memenuhi rumah Allah. Sifat keras anak-anak mengalahkan sifat keras ibu bapa. Apabila anak-anak berdegil, ibu bapa mudah mati akal. Lalu pergilah ibu bapa sekelamin dengan meninggalkan entah apa yang dibuat oleh anak-anak di rumah. Entah anak-anak solat, menonton Tv atau keluar merempit di jalan raya.

Kegagalan ibu bapa yang soleh ini amat mudah dilihat pada cuti sekolah. Pada musim persekolahan kemungkinan anak-anak tidak berada di surau masjid kerana ibu bapa sendiri memburu kecemerlangan anak-anak dalam peperiksaan. Ibu bapa saban malam lebih sibuk menghantar anak ke kelas-kelas tuisyen. Besarnya kejayaan dalam akademik berbanding solat dan kuliah maghrib. Inilah mentaliti umum ibu bapa sekarang.

Anehnya pada musim cuti sekolah juga anak-anak remaja terlalu kurang bilangannya dalam saf-saf solat. Ke manakah mereka ini sedangkan ayah-ayah yang lebai dan soleh ini begitu tekun berjamaah ? Adakah para lebai ini tidak mempunyai anak-anak remaja? Maklumlah, kalau diikutkan nisbah boleh dianggarkan bilangan dewasa kepada bilangan remaja ialah 10 : 1. Kalau ada 50 orang dewasa maka hanya terdapat 5 orang sahaja anak-anak remaja. Agaknya semua anak-anak tidak tinggal bersama mereka lagi. Semuanya telah memenuhi MRSM , sekolah sains dan sekolah berasrama penuh yang lain.

Tuntasnya, tulisan ini bukanlah satu pandangan sinis untuk para ibu bapa yang tekun ke masjid. Cetusan ini lebih kepada proses muhasabah untuk diri sendiri dan semua ibu bapa mukmin. Dalam kita mencari syurga untuk diri sendiri, apakah kita lalai  menyediakan syurga untuk anak-anak tersayang? Mudah-mudahan tulisan ini mampu mengejutkan lalai diri sendiri khususnya dan sahabat-sahabat sekaliannya. Harapannya agar terbinalah nanti saf-saf remaja yang padat dan padu sebagai manifestasi kesolehan ibu bapa dan keimanan kariah. WalLahu’alam.
"
 

Monday, June 13, 2011

Fitnah seks: Musuh sengaja tembak peluru busuk, kata isteri Mat Sabu


June 13, 2011
KUALA LUMPUR, 13 Jun — Isteri timbalan presiden PAS Mohamad Sabu, Normah Alwi kecewa dan sedih ada pihak “luar” membangkitkan balik fitnah lama melibatkan suaminya sebelum dan selepas muktamar parti itu baru-baru ini.
“Ya, cerita itu muncul kembali sebelum dan selepas muktamar (PAS) terbaru ini. Memang saya amat kecewa, sedih bila suami kembali difitnah, diperkata,” kata Normah dipetik Sinar Harian hari ini.
Dalam temu bual dengan ditemani Mohamad (gambar)yang mesra dikenali “Mat Sabu”, Normah berkata, musuh politik timbalan presiden itu “sengaja menembak peluru busuk.”
“Mereka menggunakan benda sebegini kerana mereka sendiri bergelumang dengan perkara jijik.
“Mereka sebenarnya tiada isu untuk menjatuhkan suami saya,” kata beliau.
Mohamad menang kerusi nombor dua itu dalam percubaan kali kedua pada pemilihan pusat 3 Jun lalu.
Beliau menewaskan penyandang jawatan Nasharudin Mat Isa dan seorang lagi calon Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man.
Normah, 56, juga berkata kemenangan Mohamad kali ini adalah anugerah Allah.
“Kemenangan akan datang tidak pernah saya bayangkan atau fikirkan.
“Kami juga tidak pernah berbincang sehingga ke tahap itu,” kata Normah menjawab soalan kemungkinan Mohamad akan bertanding pada pilihan raya umum ke-13 dan bergerak ke depan dalam politik selepas ini.
Mohamad pernah menjadi Ahli Parlimen sebelum ini.
“Malah setahu saya bercita-cita menjadi presiden PAS sekalipun suami saya tidak pernah.
“Jika apa yang anda katakan itu berlaku, saya akan terima dan jalani kehidupan seadanya. Beraksi mengikut sepatutnya,” kata beliau lagi.
Mohamad pernah ditahan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) dua kali iaitu dari 1984 hingga 1986 dan 1987 hingga 1989.
Kes khalwat pada tahun 1995, sebelum pilihan raya umum ketika itu, muncul lebih “panas” daripada peristiwa-peristiwa lain yang pernah dilalui suami Normah itu.
Beliau telah dibebaskan daripada tuduhan itu.
The Malaysian Insider membawa laporan pagi tadi memetik penganalisis politik meramalkan serangan video seks ke atas Mohamad, pemimpin kedua dari Pakatan Rakyat, akan memberi kesan buruk ke atas parti pesaing mereka.
Minggu lalu, Ahli Parlimen PKR Zuraida Kamaruddin mendedahkan ada menerima satu VCD menerusi peti suratnya, yang tertera gambar Mohamad dengan kata-kata “Skandal Seks Mat Sabu”, dan satu kepala surat palsu bersama logo PAS selain risalah berkaitan video seks didakwa melibatkan Ketua Umum Pakatan Rakyat Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Pemimpin-pemimpin PAS mendakwa Umno di belakang perkembangan terbaru itu.
Kata mereka, Umno kelihatan terdesak untuk menyerang PAS dan komponen Pakatan Rakyat susulan keputusan pemilihan pusat parti Islam itu.
Penganalisis politik James Chin dari Universiti Monash berkata, serangan terbaru menggunakan video seks tidak akan membawa impak sama sekali memandangkan kebanyakan rakyat Malaysia sudah pun “penat” dengan taktik sedemikian.
“Strategi menjelang pilihan raya umum ialah ada kumpulan orang yang dibayar untuk menyerang Pakatan Rakyat,” katanya.
sumber: The Malaysian Insider

Sudah-sudahlah UMNO yang suka dengan cerita lucah dan seks sebagai senjata untuk menjatuhkan musuh politik. Rakyat pun sudah bosan dengan taktik yang sebegitu. Malah perkara ini memburukkan nama masyarakat Melayu dan Islam di mata dunia bahawa gejala seks begitu teruk sehingga menjadi amalan bagi para pemimpinnya.
Kalaupun hendak jatuhkan lawan politik, biarlah secara jantan, sila letakkan SPR di bawah AGUNG dan jalankan pilihanraya adil maka di situ baru tahu siapa yang benar dan siapa yang ditolak rakyat.
Oleh itu UMNO janganlah takut akan bayang sendiri, hadapilah realiti, janganlah takut-takutkan rakyat dengan taktik kotor, takut nanti akan memakan diri sendiri.