Jom Berubah

Jom Berubah

Monday, May 5, 2014

Krisis air: PM kitar maklumat salah

HARAKAHDAILY | 05 Mei 2014.




SHAH ALAM:Dakwaan Perdana Menteri kononnya krisis air di Selangor tidak akan terjadi jika kerajaan negeri mengizinkan pembinaan loji Langat 2 dianggap tersasar kerana kapasiti air bersih yang berupaya diproses loji tersebut tidak mencukupi untuk memenuhi keperluan air bersih negeri ini.

Pengerusi Jawatankuasa Belia dan Sukan, Infrastruktur dan Kemudahan Awam, Dr Yunus Hairi (gambar) berkata, kerajaan negeri sudah berkali-kali menegaskan bahawa Langat 2 bukan penyelesaian sepenuhnya kepada kekurangan air di Lembah Klang kerana loji berkenaan hanya membekalkan 1,000 juta liter air sehari (JLH) sahaja.

Dr Yunus turut menolak dakwaan Datuk Seri Najib Razak yang menyalahkan dasar pemberian air percuma kerajaan negeri dan keengganan menaikkan tarif air sebagai punca berlakunya krisis air di negeri itu.

Menurut Dr Yunus, kekurangan bekalan air adalah disebabkan fenomena musim kering yang luar biasa.

“Pemberian air percuma yang dilaksanakan kerajaan negeri itu sebenarnya dapat menjimatkan air.

“Jika proses itu tidak bermanfaat, negeri Johor tidak perlu mengikut Selangor untuk memberikan air percuma tidak lama lagi,” katanya.

Beliau turut menyelar kenyataan tidak berasas Presiden Persatuan Penyelidikan Air dan Tenaga Malaysia (AWER) bahawa kerajaan negeri kononnya memperjudikan nasib rakyat kerana menghentikan catuan air walaupun kapasiti empangan tidak mencapai 55 peratus.

Menurut beliau, kenyataan yang dikeluarkan S Piarapakaran membuktikan beliau tidak mengemas kini maklumat daripada sumber sahih.
Katanya, kenyataan itu juga dilihat menjejaskan kredibiliti Piarapakaran dan badan bukan kerajaan (NGO) yang diwakilinya.

“Beliau sepatutnya membuat penyelidikan berkenaan usaha yang sedang dan akan dilaksanakan kerajaan negeri untuk menambah simpanan bekalan air mentah untuk masa kini dan kegunaan sehingga musim kering yang diramal berlaku sehingga September ini.

“Kita juga kesal laporan akhbar Sinar Harian itu yang tidak mendapatkan penjelasan sebenar daripada kerajaan negeri.

"Laporan tidak benar itu boleh menimbulkan kegelisahan pengguna Lembah Klang,” katanya pada sidang media di Bangunan SUK, di sini.

Sementara itu Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid menyifatkan dakwaan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak berhubung isu kekurangan air di negeri itu tidak berasaskan kajian yang betul.

Dasar pemberian air percuma yang diamalkan kerajaan negeri dan keengganan menaikkan tarif air, jelasnya bukan punca kekurangan air di Selangor.
Masalah yang berlaku itu, katanya berpunca daripada kurangnya penerimaan taburan hujan di kawasan empangan beberapa bulan kebelakangan ini.

“Saya ingat orang yang bagi kajian kepada Najib itu tidak dikaji dengan betul. Kurang air tiada kena mengena dengan tarif air atau pemberian air percuma.
“Ia disebabkan empangan yang tidak menerima air hujan yang secukupnya,” katanya ketika ditemui Selangor Kini di Majlis Penyerahan Geran Tanah kepada peneroka Kampung Sungai Darah, di sini, semalam.

Abdul Khalid berkata, kekerapan hujan ketika ini mampu menampung kekurangan air mentah di empangan Sungai Selangor yang membekalkan 60 peratus air bagi penduduk Lembah Klang.

“Insya Allah sekarang musim hujan dan kita berharap empangan Sungai Selangor akan sentiasa penuh dan tidak menimbulkan masalah air mentah lagi seperti yang berlaku baru-baru ini,” katanya.

Kelmarin, media melaporkan Najib mendakwa pemberian air percuma dan keengganan kerajaan negeri menaikkan tarif elektrik menyebabkan catuan air berlaku di negeri itu selama dua bulan. 

HARAKAHDAILY, 5/5/2014

No comments:

Post a Comment