Jom Berubah

Jom Berubah

Wednesday, November 23, 2011

Malaysian Airline System Bhd terus mencatatkan kerugian bagi suku ketiga



MAS catat rugi sebelum cukai RM461.54 juta
 6:45AM Nov 22, 2011


Malaysian Airline System Bhd terus mencatatkan kerugian bagi suku ketiga yang berakhir pada September 2011 dengan kerugian sebelum cukai sebanyak RM461.54 juta berbanding keuntungan sebelum cukai sebanyak RM236.074 juta yang dicatatkan pada tempoh yang sama 2010.

Syarikat penerbangan itu juga merekodkan kerugian pada suku kedua tempoh kewangan dengan kerugian sebelum cukai sebanyak RM509.411 juta berbanding dengan kerugian sebelum cukai sebanyak RM532.591 juta pada tempoh yang sama 2010.



Perolehan bagi suku berkenaan bagaimanapun meningkat kepada RM3.565 bilion daripada RM3.399 bilion yang dicatatkan pada tempoh yang sama 2010, kata syarikat itu dalam makluman kepada Bursa Malaysia.

Syarikat penerbangan itu juga mencatatkan kerugian sebelum cukai yang ketara sebanyak RM1.209 bilion semasa sembilan bulan pertama daripada perolehan sebanyak RM10.244 bilion.

Bagi suku ketiga, kumpulan juga mencatatkan kerugian operasi sebanyak RM156 juta berbanding dengan keuntungan RM35 juta bagi suku yang sama pada 2010, di mana kerugian lebih tinggi disumbangkan kos bahan api yang meningkat.

Kumpulan juga mencatatkan kerugian selepas cukai sebanyak RM477 juta bagi suku berkenaan berbanding dengan keuntungan RM234 juta pada suku yang sama tahun lalu.

Menurut syarikat berkenaan, kerugian selepas cukai termasuk kerugian derivatif sebanyak RM70 juta dan kerugian tukaran asing tidak direalisasikan sebanyak RM195 juta.


Sementara itu, jumlah perolehan naik sebanyak lima peratus kepada RM3.493 bilion bagi suku berkenaan, disebabkan pertumbuhan tiga peratus dalam jumlah penumpang pada pertumbuhan kapasiti enam peratus, pengurangan faktor tempat duduk sebanyak 2.7 mata peratusan kepada 76 peratus dan enam peratus peningkatan dalam hasil penumpang.

Jumlah perbelanjaan juga meningkat sebanyak 10 peratus atau RM357 juta kepada RM3.721 bilion terutamanya disebabkan kenaikan dalam kos bahan api sebanyak RM396 juta setelah jumlah kos bahan api meningkat sebanyak 37.1 peratus berbanding tempoh yang sama tahun lalu.

Kos bukan bahan api turun sebanyak dua peratus atau RM39 juta berbanding suku sama tahun lalu.

Melihat ke hadapan, persekitaran operasi bagi syarikat penerbangan pada umumnya kekal mencabar bagi suku keempat 2011.

"Bukan hanya harga bahan api jet kekal tinggi, keadaan ekonomi yang semakin teruk di Eropah diterjemahkan kepada profil tempahan ke hadapan yang lemah bagi perjalanan jarak jauh kami," kata syarikat penerbangan itu.

Walau apapun usaha pihak pengurusan untuk mengurangkan senario yang buruk, kumpulan menjangka keputusan operasi suku keempat menjadi lebih lemah daripada suku semasa.

Kumpulan itu berkata pihak pengurusan mengkaji semua aspek operasi dan inventori, dan apa-apa peruntukan berbangkit yang diperlukan perlu diperakui pada suku keempat.

"Pengurusan memulakan proses rasionalisasi rangkaian yang ketara untuk menarik balik struktur yang lemah, laluan yang mencatatkan kerugian dan mungkin memulakan laluan baru yang hasil lebih tinggi memberi tumpuan pada Asia," katanya.

Syarikat penerbangan nasional itu berkata dengan penggunaan rangkaian pengurusan yang mantap, pengurusan juga akan mempercepatkan pengembalian pesawat yang telah lama dan dalam berbuat demikian meningkatkan kecekapan bahan api kumpulan pesawat.

"Kami menjangka kesan sepenuhnya daripada inisiatif ini akan mula membuahkan hasil pada 2012, dan dengan itu inisiatif-inisiatif ini tidak akan mempunyai kesan ketara terhadap keputusan 2011," katanya.

Inisiatif ini akan menjadi antara beberapa inisiatif utama strategik lain yang akan digariskan dalam pelan perniagaan yang akan datang Malaysia Airlines yang akan diumumkan bulan depan.

- Bernama

No comments:

Post a Comment