Subky Latif, 07 Mei 2013
TIADALAH orang UMNO Kelantan yang dikira sepintar Dato Ibrahim Ali sepanjang berlawan dengan PAS di negeri itu. Dia boleh hidup dalam semua masa.
Walaupun sejak 40 tahun lalu pemimpin hebat UMNO Kelantan ialah Tengku Razaleigh Hamzah, tetapi Ibrahim boleh hidup baik bersama Tengku Razaleigh mahupun selepas masa Tengku Razaleigh.
Angkatlah siapa jadi ketua UMNO Kelantan selepas Ku Li, baik Annuar Musa mahupun Mustapa Mohamad atau Dr. Awang Adek, tiada siapa yang dapat menjinakkan Ibrahim Ali. Dia sudah ke depan sebelum nama-nama itu muncul dalam politik.
Besar peranannya menumbangkan kerajaan PAS yang dipimpin oleh Dato Asri dulu. Dia bermula dengan menubuhkan Berjasa bersama Dato Mohamad Nasir. Selepas PAS kalah dan Berjasa tidak bertenaga lagi dia terus dalam UMNO. Tidak lambat baginya mendapat tempat penting dalam UMNO bagi menjadi pemimpin UMNO Pasir Mas.
Sakit PAS Pasir Mas untuk menundudukkan Ibrahim. Dalam waktu yang muda dia berjaya mengalahkan PAS untuk jadi anggota Parlimen Pasir Mas. Dia bermula sebagai hulubalang Ku Li. Banyak kerja yang dibuatnya bagi pihak Ku Li. Termasuk menjalankan kerja menentang Dr. Mahathir sebagai Presiden UMNO dan sebelumnya membantu Ku Li menentang Musa Hitam sebagai Timbalan Presiden UMNO.
Apabila dia melihat Ku Li hilang bisa, dia terus menjadi hulubalang Dr. Mahathir pula. Dr. Mahathir memang pandai memungut siapa saja yang pernah menentangnya untuk menjadi hulubalangnya.
Tiada mudah bagi PAS menguasai Pasir Mas. PAS tidak sukar menghadapi Annuar Musa tetapi tidak mudah berdepan dengan Ibrahim walaupun dia tidak pernah menjadi orang pertama UMNO di negeri itu.
Berkat pimpinan ulama PAS Kelantan dan pimpinan Tok Guru Nik Aziz sebagai Menteri Besar Kelantan dan setelah S46 dibubarkan bagi menyertai UMNO, kekuatan Ibrahim mulai tercabar.
Dalam PRU 1999 Ibrahim Ali dapat dikalahkan oleh Ustaz Ismail Noh dari PAS. Pimpinan Annuar Musa dan Mustapa Mohamad tidak stabil. Mereka tidak dapat mengawal kerenah Ibrahim Ali. Kalau pimpinan UMNO negeri itu olehnya.
Bila UMNO diambil alih Abdullah Badawi, cara untuk mematikan politik Ibrahim ialah memecatkan dari UMNO seumur hidup. Dia lawan pimpinan UMNO Pasir Mas yang pernah duduk di bawahnya. Dia cuba buktikan dia lebih pintar dari UMNO Pasir Mas, dia bertanding bebas menentang BN dan PAS dalam PRU 2004. Bukan saja dia kalah, BN pun kalah.
Lepas itu dia berbaik dengan Tok Guru Nik Aziz. Dia bersama PAS menentang UMNO seluruh Kelantan. Tetapi sekali-kali dia tidak mahu menyertai PAS. Dengan kepintarannya dia dapat meyakinkan pimpinan PAS untuk menjadi calon PAS tanpa menyertai PAS. Ustaz Ismail Noh memberi laluan kepadanya menjadi calon PAS Pasir Mas menentang BN. Dia menang PRU 2008 dan jadi MP Pasir Mas semula.
Dia enggan jadi MP PAS tetapi selesa jadi MP Bebas, tidak terikat dengan disiplin parti. Dia tidak teragak-agak menyerang PAS dan kerajaan Kelantan. Bila Najib menggantikan Tun Abdulllah Badawi, dia banyak bercakap selari dengan dasar Najib. Dia berusaha untuk mewakili BN di Pasir Mas dalam pilihanraya tanpa masuk UMNO. Kerana dia dibuang dari UMNO seumur hidup, payah bagi UMNO menerimanya selagi Tun Abdullah hidup.
Tetapi dia berjaya meyakinkan Dr. M dan Najib bahawa dia boleh mengalahkan PAS. Dr. M berjaya mempengaruhi Najib memberinya menjadi calon menentang PAS tanpa jadi UMNO.
Seminggu sebelum Najib mengumumkan calon BN, saya menerima SMS, Ibrahim tidak disenaraikan sebagai calon BN, tetapi calon BN tidak menyerahkan penamaannya bagi membolehkan Ibrahim berlawan satu sama satu dengan PAS. Betul dia saja menentang PAS bagi Parlimen Pasir Mas.
Bagaimana pun dia kalah juga. Dia guna PAS lawan BN, dia menang. Dia guna UMNO dan BN untuk lawan PAS, dia tidak jadi orang bertuah lagi.
sumber : Harakahdaily
No comments:
Post a Comment