Oleh: BayangDiAir
"
"
Fenomena biasa di surau atau di masjid; hanya orang-orang dewasa berumur 40-an ke atas yang menekuni solat dan kuliah. Kadang-kadang wajah yang sama sahaja menghadiri solat berjemaah lima waktu. Mereka ini bolehlah dikategorikan sebagai orang-orang yang soleh di sesuatu kariah. Mereka ini tidak ramai. Kalau waktu Maghrib dan Isyak, bilangan mereka adalah dua kali ganda bilangan tiang-tiang di masjid. Pada waktu Subuh, Zohor dan Asar, ada ketikanya banyak tiang daripada makmum.
Golongan orang soleh yang gemar bertandang ke surau dan masjid ini dari satu aspek sama lalai sahaja dengan golongan yang solat di rumah atau tak solat langsung. Golongan ini sama gagal dalam membawa anak-anak ke rumah Allah. Kegagalan ini terbahagi kepada dua iaitu, gagal mendidik dan gagal mengajak.Gagal mendidik bermaksud gagal menjalankan tugas sebagai seorang ayah yang sepatutnya mendidik anak-anak tentang tuntutan solat berjamaah. Kegagalan inilah menyebabkan anak-anak jauh dari tangga surau masjid.
Kegagalan mengajak pula bermaksud gagal memujuk atau memaksa anak-anak ikut bersama solat berjamaah. Ibu bapa mudah mengalah atau tidak berdaya untuk membawa anak-anak bersama memenuhi rumah Allah. Sifat keras anak-anak mengalahkan sifat keras ibu bapa. Apabila anak-anak berdegil, ibu bapa mudah mati akal. Lalu pergilah ibu bapa sekelamin dengan meninggalkan entah apa yang dibuat oleh anak-anak di rumah. Entah anak-anak solat, menonton Tv atau keluar merempit di jalan raya.
Kegagalan ibu bapa yang soleh ini amat mudah dilihat pada cuti sekolah. Pada musim persekolahan kemungkinan anak-anak tidak berada di surau masjid kerana ibu bapa sendiri memburu kecemerlangan anak-anak dalam peperiksaan. Ibu bapa saban malam lebih sibuk menghantar anak ke kelas-kelas tuisyen. Besarnya kejayaan dalam akademik berbanding solat dan kuliah maghrib. Inilah mentaliti umum ibu bapa sekarang.
Anehnya pada musim cuti sekolah juga anak-anak remaja terlalu kurang bilangannya dalam saf-saf solat. Ke manakah mereka ini sedangkan ayah-ayah yang lebai dan soleh ini begitu tekun berjamaah ? Adakah para lebai ini tidak mempunyai anak-anak remaja? Maklumlah, kalau diikutkan nisbah boleh dianggarkan bilangan dewasa kepada bilangan remaja ialah 10 : 1. Kalau ada 50 orang dewasa maka hanya terdapat 5 orang sahaja anak-anak remaja. Agaknya semua anak-anak tidak tinggal bersama mereka lagi. Semuanya telah memenuhi MRSM , sekolah sains dan sekolah berasrama penuh yang lain.
Tuntasnya, tulisan ini bukanlah satu pandangan sinis untuk para ibu bapa yang tekun ke masjid. Cetusan ini lebih kepada proses muhasabah untuk diri sendiri dan semua ibu bapa mukmin. Dalam kita mencari syurga untuk diri sendiri, apakah kita lalai menyediakan syurga untuk anak-anak tersayang? Mudah-mudahan tulisan ini mampu mengejutkan lalai diri sendiri khususnya dan sahabat-sahabat sekaliannya. Harapannya agar terbinalah nanti saf-saf remaja yang padat dan padu sebagai manifestasi kesolehan ibu bapa dan keimanan kariah. WalLahu’alam.
"
No comments:
Post a Comment