PUTRAJAYA 10 Jun - Datuk Seri Najib Tun Razak menyifatkan perjuangan negara berkebajikan Pas seperti yang diuar-uarkan pada muktamar parti itu baru-baru ini sebagai suatu yang ajaib dan menghairankan.
Ini kerana, kata Perdana Menteri, perjuangan yang menjurus kepada negara berkebajikan serta membela nasib rakyat itu sudah lama diperjuangkan oleh kerajaan yang ada pada hari ini.
Menurut beliau, mereka sebenarnya baru terfikir untuk mewujudkan negara berkebajikan sedangkan kerajaan Barisan Nasional (BN) sudah lama memperjuangkannya.
''Saya pelik dan ajaib, ada yang mencanangkan negara kebajikan...mereka baru terfikir.
''Justeru, tidak payahlah mahu mengambil modal negara berkebajikan yang telah kita perjuangkan dan sudah sedia ada seperti sekarang," katanya ketika berucap merasmikan Konvensyen Wasatiyyah di sini hari ini.
Najib berkata demikian sebagai reaksi terhadap dasar perjuangan baru Pas dari negara Islam kepada negara berkebajikan seperti yang dicanangkan parti itu pada Muktamar Tahunan Pas Ke-57 minggu lalu.
Perdana Menteri menambah, beliau sebenarnya tidak perlu menghuraikan dengan lebih lanjut konsep negara berkebajikan yang telah diamalkan oleh kerajaan sejak sekian lama.
Katanya, rakyat boleh melihat sendiri usaha kerajaan itu menerusi pelbagai dasar dan program yang dilaksanakan seperti penubuhan Felda, Felcra, universiti dan banyak agensi lain lagi.
sumber: Utusan Malaysia Online
Siapa yang pelik? PM pelik sebab PAS baru hendak laksanakan negara berkebajikan. Betul ke BN sudah amal konsep tersebut kerana alasan sangat kukuh mereka Felda, Felcra dan universiti.
Felda dan Felcra program yang dah lapuk dan bukannya masih berjalan hingga sekarang. Malah tidak ada peneroka baru dan tanah baru di buka sejak zaman Tun Hussein Onn lagi hingga sekarang dibuat, cuma hasilnya yang telah diambil dan dinikmati oleh kroni.
Belajar di universiti sekarang ini, percuma ke? Usahkan percuma hendak dapat biasiswapun beberapa kerat sahaja yang dapat. Bila sahaja sesiapa yang berjaya ke universiti yang kena pinjam PTPN emak-bapak terpaksa bergadai-bergolok hendak buat bayaran permulaan dan belanja di universiti kerana PTPTN entah bila dapatnya? Remaja-remaja kita sudah mula terikat dengan hutang sejak belum bekerja dan berumah tangga lagi. Ini ke negara berkebajikan?
Rakyat mendapat kebajikan yang sepatutnya dari BN? Yang pasti rakyat terpaksa kurang kebajikan dengan kehidupan mereka kerana tuntutan taraf hidup yang tinggi berbanding pendapatan yang mereka perolehi. Institusi yang buat skim pinjaman buat untung berkali ganda kerana rakyat terpaksa buat pinjaman untuk sesuatu urusan harian, malah pinjaman telah berulang beberapa kali hingga bayarannya belum habis walaupun telah pencen.
Kenaikan barangan pengguna yang nampaknya macam sudah tidak terkawal oleh kerajaan menyebabkan rakyat tidak dapat lagi membuat simpanan untuk waktu kecemasan, untuk hari tua dan membuat pelaburan akhirat.
Oleh itu diseru agar semua dapat memberi peluang kepada PAS untuk membuktikan negara berkebajikan dilaksanakan di seluruh Malaysia dan konsep ini telahpun dilaksanakan di Kelantan dan Kedah.
No comments:
Post a Comment